PUTRAJAYA 2 Okt.- Sebanyak 95 peratus daripada 1,500 gerai ditawarkan dalam Pameran Pertanian, Holtikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2018 telah ditempah dalam tempoh 50 hari menjelangnya acara itu.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, mereka melibatkan penggiat industri pertanian dan agro makanan negara.
“MAHA 2018 telah mendapat penajaan RM5 juta daripada 26 rakan strategik dan dijangkakan jumlah ini bertambah menjelang pameran ini.
“Dengan penyertaan yang kukuh daripada rakan strategik pada tahun ini, penganjuran pameran ini boleh dipertingkatkan dengan aktiviti dan acara lebih menarik,” katanya dalam sidang akhbar bersempena 50 hari menjelang MAHA 2018 di sini hari ini.
MAHA merupakan acara dwitahunan anjuran oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang berlangsung selama 11 hari bermula 22 November ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps). – UTUSAN ONLINE











