Kesan besar Muktamar Pas Ke-64 - Utusan Malaysia

Kesan besar Muktamar Pas Ke-64

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU KEDAH, Kelantan dan Terengganu tidak jauh berbeza. Ketiga-tiga negeri ini amat rapat dengan saya. Membesar di Sik, Kedah. Bertugas di Kota Bharu, Kelantan dan berumah tangga dengan orang Marang, Terengganu. Kelihatan orang Melayu di tiga-tiga negeri ini hidup harmoni tanpa sebarang masalah namun realitinya ada garis sempadan yang memisahkan mereka iaitu anutan politik, UMNO dan Pas.

Tempat kelahiran saya, Kampung Jelutong, Sik tidak jauh dari Memali, Baling. Penduduk di kawasan ini kebanyakannya berketurunan Melayu Pattani. Nenek moyang kami datang dari Pattani, Thailand memugar tanah termasuklah moyang saya, Haji Musa yang membuka Kampung Jelutong ini.

Atas jalur ras yang sama, penduduk kawasan itu mempunyai hubungan kekeluargaan. Malah bertambah erat apabila berlaku perkahwinan. Umpamanya, sepupu saya bernikah dengan cucu Tok Guru Haji Yaakob pengasas Pondok Charuk Putih. Pondok ini letaknya di sebelah Kampung Memali. Menurut cerita, Ibrahim Libya pernah menadah kitab dengan Tok Guru Haji Yaakob sebelum ke Libya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menjadi kebiasaan setiap orang mempunyai fahaman politik. Keluarga saya dengan UMNO tetapi kebanyakannya penduduk di sini percaya pada Pas. Maka tidak pelik ada orang kampung saya terlibat dalam tragedi Memali. Paling diingati ialah ‘Mat Rambai’. Kata orang, dia sangat berani. Mat Rambai juga dikatakan orang kanan Ibrahim Libya. Dia gugur dalam peristiwa hitam pada 19 November 1985 itu.

Kematiannya menyebabkan tersebar cerita jika jenazah arwah sampai di kampung kami maka akan mengamuklah orang Pas. Orang UMNO jadi takut. Langkah berjaga-jaga diambil. Amat tegang, tidak ada siapa berani keluar malam ketika itu. Tetapi mujur tidak ada apa yang berlaku. Tiada siapa yang mengamuk dan senyap begitu sahaja.

Namun bermula hari itu berpisahlah Melayu di kampung kami. Muafakat ikut parti. Kalau selisih, yang UMNO ke barat, Pas ke timur. Haram mengharam, kafir mengkafir berlaku. Hari ini, keadaan berbeza sedikit. Ramai sudah mati. Sudah boleh bercampur tetapi masih agak segan untuk bersama.

Pada 2003, saya mendirikan rumah tangga. Ketika itu, Pas memerintah Terengganu untuk kali kedua. Pertama kali, Pas perintah negeri itu pada 1959 sebelum dijatuhkan bukan melalui pilihan raya. Bermula 9 Mei 2018, pusingan ketiga Pas mentadbir Terengganu.

Cerita yang sama saya dengar di Terengganu. Tebalnya garis memisah UMNO dan Pas. Di Pengkalan Berangan, ada dua masjid solat Jumaat sebuah digazetkan majlis agama dan sebuah lagi dibina penyokong dan ahli Pas. Sekarang mungkin sudah tiada (sebab UMNO sudah kalah) tetapi saya tidak pasti.

Dan lebih 10 tahun bertugas di Kelantan, lagi luas pengalaman dengan UMNO dan Pas. Saya melihat dan menilai bagaimana Pas memerintah serta UMNO menjadi pembangkang. Saya bersahabat dari atas sampai ke bawah. Pecah berat!

Keadaan di ketiga-tiga negeri ini amat merimaskan. Masing-masing mendabik dada. Taksub. Namun Pilihan Raya Umum Ke-14 membawa hikmah yang amat besar. Sebelum bermula pilihan raya sudah ada bibit bersama dan apabila UMNO tewas makin kuat untuk bersama.

Senario dan pengalaman ini sengaja saya coretkan sebelum merumuskan hasil liputan Muktamar Tahunan Pas Ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak Terengganu yang berakhir pada 16 September lalu.

Kehadiran kepemimpinan tertinggi UMNO yang diketuai presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada muktamar tersebut menunjukkan parti itu amat beria-ia untuk bekerjasama namun penerimaan perwakilan ‘begitu-begitu’ sahaja tidak sama ketika mereka bertahaluf dengan PKR hatta DAP sekali pun. Mungkin kerana perang yang lama. Namun berdasarkan ucapan perwakilan sehingga penghujung muktamar, jelas akar umbi Pas faham dan bersetuju untuk bekerjasama tetapi dengan kewaspadaan.

Justeru, kejujuran dan keikhlasan yang amat penting pada ketika ini. Benar seperti yang dikatakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang: “Tidak perlu gopoh. Pilihan raya masih lama. Kedua-dua parti itu harus berlapang dada untuk menempuh cabaran yang sukar hari ini.”

Pelukan Abdul Hadi dan Ahmad Zahid membawa kesan besar kepada umat Melayu dan Islam di negara ini. Harapannya tiada lagi cerita di Hulu Kedah, Kelantan dan Terengganu. Dan bermulalah era baharu Pas – UMNO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini