KUALA LUMPUR 18 Sept. – GCH Retail (M) Sdn. Bhd. (GCH), pengendali pasar raya dan pasar raya hyper terbesar di Malaysia iaitu Giant, Cold Storage, Jason’s Good Hall dan Mercato melabur sebanyak RM116 juta untuk membuka pusat pengagihan barangan segar di Kajang.

Pengarah Urusannya, Pierre-Olivier Deplanck berkata, pusat tersebut yang mengambil masa 12 bulan untuk dibina mempunyai keluasan 10,950 meter per segi dengan keluasan tanah, 25,000 meter persegi dan yang merupakan terbesar di Malaysia dari segi peruncit tunggal.
Katanya, pusat pengagihan dengan teknologi terkini itu mempunya tiga kali ganda lebih besar berbanding operasi sedia ada GCH di Balakong.
“Ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan GCH untuk memastikan pengguna di Giant, Cold Storage, Jason’s Food Hall dan Mercato menikmati nilai terbaik dan berkualiti,” katanya dalam perasmian pusat tersebut di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi GCH, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar dan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Jamil Salleh.
Kesemua produk daripada pusat agihan itu akan melalui pemeriksaan yang berkualiti dan jaminan sebelum diterima dan bersedia untuk dihantar ke stor-stor pasar raya berkenaan.
Pusat itu turut memberi fokus kepada kecekapan tenaga operasi, sistem penuaian hujan, teknologi pemulihan haba, proses integrasi dan automatik, pengawalan suhu persekitaran serta meningkatkan proses pengawalan dan logistik.
Selain itu, ia juga menyediakan stor simpanan dengan kawalan suhu setiap hari bagi penghantaran di seluruh negara. Ia menggunakan 50 trak setiap hari bagi memastikan setiap pengguna memperoleh barangan segar.
Menurut Deplanck, inisiatif itu berupaya menyediakan sehingga 200 peluang pekerjaan dalam sektor gudang dan pemprosesan makanan termasuk pakar produk dan pembeli, profesional kawal selia kualiti dan pasukan pengagihan.
“Kami juga akan mempunyai lebih 200 vendor yang akan mendpat manfaat daripada sistem pengagihan barangan yang dilaksanakan GCH ini,” katanya.











