KUALA LUMPUR 12 Mac- Polis telah mengenal pasti seorang daripada dua suspek kes samun melibatkan seorang wanita di Taman Sri Gombak dekat sini pada 5 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, individu yang dikenali sebagai Ayep Hitam atau Muhammad Farid, 25, dipercayai terbabit dalam kes samun berkenaan.
“Lelaki terbabit kini diburu polis bagi membantu siasatan manakala seorang lagi suspek masih belum dapat dikenal pasti.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Jegathiswaran di talian 010-9671818 atau hubungi balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Minggu lalu, akhbar melaporkan seorang suri rumah berusia 54 tahun cedera di tangan kanan akibat diserang dua penjenayah berkenaan ketika berada di depan rumahnya kira-kira pukul 2 petang pada 5 Mac lalu.
Kejadian berkenaan sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi yang kemudian tular selepas dimuat naik dalam media sosial.
Dalam rakaman CCTV berdurasi 41 saat itu menunjukkan dua penjenayah terbabit yang menaiki motosikal Yamaha Y150 berwarna merah memberhentikan kenderaan itu di belakang sebuah kereta Proton Satria diletakkan di depan rumah mangsa.
Pembonceng motosikal itu yang membawa senjata dipercayai parang kemudian turun sebelum menyerang wanita berkenaan manakala seorang lagi suspek yang menunggang kenderaan itu dilihat memusingkan motosikal berkenaan bagi bersedia untuk melarikan diri.
Kedua-dua mereka kemudian melarikan diri bersama gelang dan rantai emas milik mangsa dianggarkan bernilai RM7,000.- UTUSAN ONLINE











