LIPIS 8 Mac – Barisan Nasional (BN) negeri sedia membincangkan mengenai pembahagian kerusi dengan Pas dalam merealisasikan kerjasama antara kedua-dua parti itu khususnya dalam berhadapan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama antara kedua-dua parti Melayu terbesar yang dapat menyatukan masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.
“Terlalu awal benda ini (mengenai pembahagian kerusi antara UMNO dan Pas), jauh lagi tetapi kita akan bincang nanti,” katanya pada majlis Kenduri Sekampung di Perkarangan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Sungai Koyan di sini hari ini.
Yang hadir sama, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, setelah bekerjasama dalam enam pilihan raya kecil (PRK) sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO dan Pas secara rasmi mengumumkan kerjasama rasmi antara kedua-dua parti bagi tujuan penyatuan ummah.
Dalam kempen PRK Cameron Highlands baru-baru ini, Wan Rosdy yang juga Pengerusi BN negeri dilaporkan berkata, BN akan bertolak ansur dalam pembahagian kerusi dengan Pas.
Katanya, antara formula yang akan dilihat adalah mengekalkan calon daripada parti UMNO dan Pas yang telah memenangi sesuatu kawasan dalam pilihan raya pada (PRU-14).
Ujarnya, bagi kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) pula, BN dan Pas akan melihat kekuatan calon dari UMNO atau Pas yang boleh memberikan kelebihan kepada BN dan Pas untuk menang sebelum membuat pilihan.











