Kerjasama UMNO, Pas langsung tidak berbahaya - Utusan Malaysia

Kerjasama UMNO, Pas langsung tidak berbahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 8 Mac – Kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggambarkan kerjasama Pas dan UMNO sebagai ‘ peingisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu dilihat tidak wajar dan berbaur hasutan.

Sebaliknya kata Timbalan MCA negeri, Chuah Tian Hee, kerjasama dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu langsung tidak berbahaya untuk bangsa lain jauh sekali boleh menimbulkan keadaan huru hara.

Katanya, sebagai menteri, Guan Eng tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berbentuk hasutan serta perkauman seperti itu.

“Saya harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera terhadap Guan Eng bagi menteramkan kembali keadaan.

“Apa masalahnya kalau UMNO dan Pas bekerjasama, saya lihat tidak memberi masalah apa pun terhadap keharmonian di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas bersama UMNO, MIC dan Pas Bahagian Arau membuat laporan di Balai Polis Arau di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO negeri merangkap Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim dan wakil MIC serta pemimpin-pemimpin setempat.

Sebelum ini, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyifatkan kerjasama di antara Pas dan UMNO telah ‘mengisytiharkan peperangan terhadap bukan Melayu’.

Bagaimanapun kenyataan tersebut ditarik balik dan diubah beberapa minit kemudian selepas mendapat kecaman daripada warganet.  

Tambah Tian Hee, selama ini masyarakat hidup dalam suasana harmoni dan janganlah mengeruhkan lagi keadaan dengan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×