KUALA LUMPUR 15 Feb. – Pendekatan yang digunakan Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) dalam menyelesaikan dakwaan salah laku melibatkan kewangan wajar dijadikan contoh oleh badan sukan di negara ini apabila mereka memanggil kepimpinan lama dan baharu bagi menyelesaikan perkara itu secara terbuka.
Sebelum ini bekas Presiden MASCA, Datuk S. Subramaniam didakwa meluluskan pengeluaran wang perbelanjaan daripada akaun persatuan sejumlah hampir RM15,000 selepas ia ditutup bagi tujuan audit pada 30 September lalu.
Perkara itu kemudian terus menjadi persoalan selepas tiada sebarang penjelasan diberikan semasa Mesyuarat Agung Tahunan MASCA yang diadakan pada 17 November 2018.
Hari ini, Subramaniam tampil bersama barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2018/2021 yang diketuai Datuk Seri Megat Shahriman Zaharuddin bagi memberikan penjelasan berhubung perkara itu.
Beliau mengakui bertanggungjawab mengeluarkan perbelanjaan itu selepas akaun persatuan ditutup dan memberitahu bahawa ia digunakan bagi menjelaskan bayaran gaji setiausaha eksekutif persatuan itu yang sudah tertunggak selama empat bulan.
Katanya, wang yang dikeluarkan itu juga digunakan untuk perbelanjaan atlet di bawah persatuan itu.
“Memang saya akui ada berlaku sedikit masalah teknikal kerana wang itu saya keluarkan selepas akaun persatuan ditutup dan saya juga sudah memberikan jawapan bertulis kepada MASCA berhubung perkara ini.
“Saya sememangnya mahu melunaskan semua hutang yang ada sebelum menyerahkan jawatan kepada kepimpinan baharu untuk terus memajukan sukan ini,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Presiden MASCA, Datuk Michael Wong mengakui memang wujud masalah teknikal berhubung isu tersebut dan MASCA sudah meminta Subramaniam serta Megat Shahriman untuk memberikan penjelasan.
“Selepas mendengar penjelasan kedua-dua pihak, isu ini berjaya diselesaikan dengan baik,” katanya.











