Kanak-kanak mangsa penjara Zionis - Utusan Malaysia

Kanak-kanak mangsa penjara Zionis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH 15 Feb. – Pihak berkuasa Israel menahan kira-kira 509 penduduk Palestin termasuk 89 kanak-kanak dan lapan wa­nita di wilayah Baitulmuqaddis, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza sejak Januari lalu.

Portal berita Wafa melapor­kan, Persatuan Tahanan Palestin; Suruhanjaya Tahanan dan pertubuhan hak asasi, Addameer menerusi satu kenyataan bersama menyatakan Israel menahan seramai 102 penduduk Palestin dari Baitulmuqaddis Timur selain 88 orang dari Ramallah.

Sementara itu, 80 yang lain ditahan di Hebron; 55 (Jenin), 62 (Baitulaham), 30 (Nablus), 30 (Tulkarm), 25 (Qalqiya), lapan (Toubas), enam (Salfit) dan ma­sing-masing 10 orang di Jericho serta Semenanjung Gaza.

Kenyataan itu menyebut jumlah penduduk Palestin yang ditahan di beberapa penjara Israel dianggarkan seramai 5,700 orang menjelang Januari lalu termasuk 48 wanita dan 230 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.

Sebagai tambahan, 95 penduduk Palestin ditahan dalam penjara pentadbiran tanpa sebarang pendakwaan atau perbicaraan dalam tempoh tertentu pada Januari lalu.

Seramai 50 daripadanya baru ditahan.

Ketiga-tiga agensi itu juga mendakwa Israel menahan seramai 18 wartawan termasuk tiga wanita di penjara pentadbiran, manakala dua lagi dihukum penjara seumur hidup.

Selain itu, Israel dilihat me­ningkatkan polisi hukumannya terhadap mana-mana keluarga Palestin yang menyerang penduduk Yahudi termasuk penjara serta-merta dan memisahkan penduduk Palestin dengan keluarga mereka dalam tempoh panjang.

Dalam perkembangan ber­asingan, pihak berkuasa Pa­lestin mendakwa persida­ngan anjuran bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Warsaw, Poland tidak mempunyai kredibiliti kerana bertujuan mengiktiraf penjajahan Israel di wilayah-wilayah Palestin.

“Dengan menyokong Israel sepenuhnya, AS cuba mengiktiraf penjajahan rejim Zionis dan penafian hak pemerintahan sendiri penduduk Palestin,” jelas Nabil Shaath yang juga Penasihat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. – AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×