KOTA KINABALU 15 Feb. – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah meminta penduduk di seluruh negeri itu memberi kerjasama supaya tidak melakukan pembakaran terbuka pada musim panas dan kekurangan hujan dialami Sabah ketika ini kerana dikhuatiri ia akan merebak seterusnya menjejaskan kualiti udara setempat.
Menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini, kerjasama semua pihak adalah perlu untuk menjaga tanah masing-masing dan membantu memadamkan kebakaran kecil supaya tidak merebak ke kawasan berhampiran.
Jabatan itu turut mengingatkan bahawa melakukan pembakaran terbuka adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan kompaun maksimum RM2,000 atau denda RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Orang ramai diminta melaporkan segera ke JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai individu memulakan pembakaran sehingga menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan lebih besar terutama di kawasan belukar dan hutan.
“Orang ramai boleh melaporkan perkara itu berserta bukti bergambar mengenai pelaku bagi punca kejadian,” menurut jabatan berkenaan.
Bagi tempoh 2018 sehingga kini, JAS mengeluarkan sebanyak 24 kompaun kepada individu, premis industri dan tapak pembinaan didapati melakukan pembakaran terbuka, manakala satu kertas siasatan dibuka melibatkan pembakaran dalam kawasan ladang.
“Setakat ini, dua kompaun dikeluarkan terhadap individu menyebabkan kebakaran besar di Beaufort dan Sook. Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti pemilik tanah kawasan terbakar,” menurut kenyataan itu.
Berikutan cuaca panas dan kering ketika ini, pemantauan mendapati terdapat pertambahan titik panas di Sabah telah dikesan berlaku di Beaufort, Keningau, Sook dan Kuala Penyu di samping aduan kacau ganggu disebabkan pembakaran terbuka di kawasan perumahan. – BERNAMA











