HULU LANGAT – Sebanyak 13 borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sudah terjual menjelang hari penamaan calon, esok.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun berkata, daripada jumlah tersebut, wakil daripada Pakatan Harapan (PH) membeli tiga set borang pencalonan manakala Barisan Nasional (BN) membeli lima borang.
Manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) membeli satu borang selain Bebas sebanyak empat borang.
“Saya difahamkan setakat ini sebanyak 13 borang pencalonan telah dibeli oleh wakil calon-calon yang bakal bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pusat Penamaan Calon, PRK Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPK) hari ini.
Tambahnya, pihaknya berpuas hati dari segi persiapan, logistik dan keselamatan di pusat penamaan calon bagi PRK Semenyih.
“Saya telah meneliti persiapan dan didapati persediaan sudah mencapai 100 peratus dari segi logistik, keselamatan dan penempatan parti-parti yang terlibat.
“Sepanjang perjalanan PRK Semenyih ini SPR turut mempunyai 992 anggota yang bertugas termasuk pada hari penamaan calon esok,” katanya. – K! ONLINE











