SHAH ALAM – Kira-kira 20 wakil media memenuhi pekarangan Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini bagi mengikuti prosiding hari pertama inkues bagi menentukan punca kematian anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Mereka dilihat mula memenuhi pekarangan mahkamah sejak pukul 8 pagi.
Bagi prosiding yang akan dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad kira-kira pukul 9 pagi itu, pihak mahkamah telah menghadkan bilangan wartawan masuk ke dalam kamar mahkamah.
Hanya tiga wakil media sahaja dibenarkan untuk masuk ke kamar mahkamah iaitu wartawan daripada Bernama, The Star dan Sin Chew Daily atas faktor ruangan yang kecil.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebelum ini dipetik berkata, kes Muhammad Adib perlu diteliti sepenuhnya menerusi inkues bagi mengelakkan kelompongan dalam siasatan.
Jelas beliau, lebih 20 saksi berkaitan akan dipanggil memberi keterangan termasuk doktor pakar dan forensik yang merawat serta melakukan bedah siasat terhadap Muhammad Adib.
Prosiding inkues itu dijangka akan diselesaikan dalam tempoh sebulan bermula hari ini.
Dalam kejadian pada 27 November lalu, Muhammad Adib kritikal selepas didakwa dibelasah sekumpulan perusuh ketika tiba di kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafields, Subang Jaya bagi memadamkan satu kebakaran kereta.
Selepas 21 hari dirawat, Muhammad Adib meninggal dunia 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur akibat kecederaan dalam dialaminya. – K! ONLINE










