IPOH 6 Jan. – Lebih 20 buah rumah di sekitar Gugusan Manjoi di sini mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dan hujan lebat yang berlaku petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, beberapa pokok tumbang selain bumbung rumah penduduk diterbangkan angin namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Antara kampung yang terlibat dalam kejadian itu ialah Kampung Manjoi, Kampung Tengku Hussein, Kampung Sungai Tapah Seberang dan Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2.
Seorang penduduk, Halimaton Mat Dalili, 57, berkata, ketika kejadian hujan lebat dan angin kencang, dia berada di rumah ibunya berusia 87 tahun yang terletak di hadapan rumahnya.
Katanya, dia berasa cemas apabila menyaksikan beberapa barang di dalam rumah ibunya itu melayang dan jatuh akibat ditiup angin kencang.
“Ketika itu kami berdua sahaja di dalam rumah dan saya sempat membuka tingkap menjerit pada suami agar jangan keluar dari rumah kami.
“Saya lihat barang di rumah emak ‘terbang’ dan atap rumah juga tercabut. Sekarang banyak peralatan rumah yang rosak dan kami sekeluarga mungkin menumpang di rumah saudara sebelum rumah siap dibaiki,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika ditemui semasa meninjau kediaman mangsa berkata, terdapat beberapa rumah mengalami kerosakan teruk dan mereka akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Surau Al-Husseiniah, Jalan Kolam dekat sini.
Katanya, bantuan segera akan disalurkan kepada semua mangsa yang terlibat pada malam ini.
“Kita sedang mengumpul maklumat jumlah rumah dan mangsa yang terjejas. Saya menyeru kepada semua mangsa untuk membuat laporan polis untuk memudahkan proses bantuan susulan dilakukan.
“Sekarang ini pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang berusaha membersihkan pokok-pokok yang tumbang manakala TNB pula sedang membantu menyambung semula bekalan elektrik ke semua kediaman dan premis terlibat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










