KEMAMAN 1 Jan. – Polis daerah ini mengeluarkan 13 saman atas pelbagai kesalahan dalam Ops Bersepadu Ambang Tahun Baru 2019, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, operasi bermula pukul 10 malam dan berakhir 3 pagi tadi dengan kekuatan 76 anggota termasuk pegawai dan Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM) turut menemukan sebuah motosikal Honda EX5 yang dilaporkan hilang pada tahun 2016 yang kemudiannya dirampas.
“Operasi disertai Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan enam Balai Polis dalam daerah ini.
“Kita turut menahan ‘pemilik’ motosikal tersebut di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri. Selain itu polis juga turut menahan tiga orang dibawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ROR) kesalahan lampau, tiga orang di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, seorang di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dan menggunakan dadah berbahaya, “ katanya ketika dihubungi Utusan Online, hari ini.
Katanya, dalam operasi tersebut, polis turut merampas 10.24 gram Pil Yaba, satu botol plastik cerah bertudung putih berisi serbuk/ketulan berwarna putih yang disyaki dadah dan satu botol plastik hijau bertudung hijau berisi serbuk/ketulan berwarna putih disyaki dadah.
“Dalam operasi tersebut, seramai 255 orang dan 229 buah kenderaan diperiksa termasuk 115 buah kereta, motosikal (83 buah) serta 31 buah lain-lain kenderaan, “ jelasnya. – UTUSAN ONLINE









