KUALA LUMPUR – Rumah dua teres tingkat milik seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam siasatan kes berprofil tinggi terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat di Taman Suria Tropika, Seri Kembangan kelmarin.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norizham Mohd. Nudin berkata, tiga jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Serdang serta Puchong dikejarkan ke lokasi bersama 15 anggota selepas pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.37 petang.
“Setibanya di lokasi kejadian, kita mendapati tingkat atas rumah itu terbakar sebanyak 80 peratus. Api dapat dikawal pada pukul 3.12 petang.
“Kejadian itu tidak melibatkan mangsa dan setakat ini punca kebakaran masih lagi disiasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.










