Satelit selesai masalah internet - Utusan Malaysia

Satelit selesai masalah internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI orang nombor dua di Kementerian Komunikasi dan Multimedia memang tugas mencabar ketika rakyat kecoh isu capaian internet lemah di sesetengah kawasan sehingga menyukarkan urusan dalam talian yang menjadi platform perhubungan, ekonomi dan pembelajaran utama ketika Covid-19.
Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM, baru-baru ini, Timbalan Menterinya, DATUK ZAHIDI ZAINUL ABIDIN mendedahkan kos sangat besar untuk melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi yang sedang dalam perancangan untuk menyelesaikan masalah capaian internet dan connectivity (kesalinghubungan) digital.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu tetap bersemangat melontar idea mencari dana untuk membolehkan kerajaan menyalurkan subsidi kepada rakyat bagi memastikan projek terbabit menjadi kenyataan walaupun makan malam beliau di sebuah restoran di Kuala Lumpur, ‘diganggu’ wartawan yang mahu beliau memberi komen ‘isu panas’ peruntukan besar kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Berikut sedutan wawancara tersebut:

TEKNOLOGI SATELIT

UTUSAN: Boleh komen isu capaian internet lemah yang diperkatakan pelbagai pihak?
ZAHIDI: Matlamat kementerian yang pertama sekarang adalah untuk memberikan perkhidmatan kesalinghubungan digital termasuk teknologi mudah alih generasi keempat (4G) ke seberapa banyak kawasan di seluruh pelosok negara.

Itulah hasrat kita buat Jendela (Pelan Jalinan Digital Negara), supaya semua kawasan dari bandar sampai ke luar bandar mendapat perkhidmatan internet dan membolehkan seluruh masyarakat celik digital. Sebab utiliti yang penting untuk semua masyarakat mendapatnya bukan setakat air dan elektrik, tetapi juga maklumat.

Tetapi kita ada kekangan tertentu. Antaranya banyak kawasan berbukit dan ada tempat tiada elektrik sehingga menyukar kita membina menara pemancar telekomunikasi yang memberi liputan 24 jam. Kalau kita guna genset (generator) sebagai bekalan kuasa pun, ada kes kecurian peralatan berkenaan.

Selain itu, syarikat telekomunikasi tempatan tidak mahu memberikan perkhidmatan kerana kos mahal. Contohnya, di kawasan-kawasan sempadan. Kekuatan menara pemancar negara jiran lebih kuat sehingga masuk ke dalam negara kita manakala syarikat telekomu­nikasi kita tidak menyediakan perkhidmatan di situ.

Tiadakah cara-cara untuk membaiki masalah ini?

Kalau hendak menyelesaikan perkara ini, kita kena mencari jalan untuk memberi perkhidmatan menggunakan satelit. Sekarang terdapat sesetengah kawasan di luar bandar yang kita menyediakan perkhidmatan satelit , tetapi ia agak mahal. Kalau kita dapat memperluaskan perkhidmatan ini ke seluruh negara, maka banyak kawasan yang dulu tiada liputan akan mendapat capaian telekomunikasi lebih baik.

Sekarang ini ada cadangan tetapi mahal sikit. Kalau kita buat satelit ini, maknanya kita dapat memberi perkhidmatan lebih luas terutama di luar bandar, kawasan berbukit, perairan nelayan menangkap ikan dan kawasan-kawasan keselamatan termasuk pos polis dan tentera di sempadan.

Tetapi satelit ini ada kelemahan, misalnya waktu hujan kita tidak boleh pakai, tetapi lebih baik daripada tiada talian telekomunikasi langsung. Sekurang-kurangnya memberi pilihan kedua kepada rakyat. Kerajaan harus memikirkan bagaimana kita hendak memberi subsidi kepada program satelit ini.

Bagaimanakah kerajaan hendak mendapatkan wang untuk memberikan subsidi?
Pertama, daripada kajian yang kita buat, pekerja asing yang sah menghantar wang ke luar negara secara dalam talian adalah lebih kurang RM40 bilion setahun dan buruh tidak sah sebanyak RM80 bilion.

Bagaimana kita dapat caj mereka bagi setiap kali penghantaran macam kita caj RM1 di semua mesin juruwang automatik (ATM) yang menggunakan rangkaian Malaysian Electronic Payment System Sdn. Bhd. (MEPS).

Kedua, kita caj pembelian barangan dalam talian dari luar negara misalnya sebanyak 0.02 peratus. Ini ditujukan kepada golongan berkemampuan yang membeli barangan bernilai lebih RM3,000.

Ini untuk menggalakkan mereka membeli barangan buatan Malaysia. Mereka ini membantu ekonomi luar negara, melainkan barangan tersebut tiada dalam Malaysia. Mengenakan caj seperti ini dilakukan oleh banyak negara lain di dunia.

Wang ini akan digunakan untuk subsidi balik kepada rakyat. Selain kemudahan satelit, kita juga boleh membina menara pemancar telekomunikasi baharu untuk kemudahan internet luar bandar.

Untuk membina menara ini dan mendapatkan tanah, ia mengambil masa sebab memerlukan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lulus mesyuarat Exco, kadang-kadang lima hingga enam tahun, tidak dapat kelulusan lagi. Jadi satelit ini lebih cepat.

CEGAH PENIPUAN INTERNET

Bersediakan masyarakat luar bandar menggunakan kemudahan internet tanpa ditipu?
Ini pentingnya pendidikan pengguna. Di samping kita memberi kesalinghubungan digital ini ke seluruh negara, kita harus mengambil kira tentang keselamatan. Rakyat perlu ada pengetahuan mengenai kendiri digital dan mampu menjadi pengguna internet yang berhemah.

Kita lihat sekarang pencuri boleh tahu barangan berharga yang ada di rumah kerana kita mengambil gambar dalam kediaman dan berkongsi paparan itu dan maklumat lain dalam media sosial.

Oleh itu, kita perlu mendidik rakyat termasuk kanak-kanak supaya menjadi pengguna internet yang bijak.

Rakyat juga perlu dididik supaya memastikan data-data bank dan peribadi dalam telefon bimbit tidak boleh dicuri oleh penggodam dan scammer (penipu).

Adakah cara lain mencegah penipuan berkenaan?
Ya, kerajaan hendaklah membantu terutama golongan yang tidak mampu untuk memberi ciri-ciri keselamatan kepada telefon bimbit dan talian internet yang diguna pengguna.

Antaranya, menyediakan teknologi enkripsi (penyulitan data) supaya maklumat dalam telefon bimbit tidak dicuri. Kaedah ini memerlukan pengguna membuat bayaran. Mereka yang mampu okey, tetapi golongan tidak berkemampuan kerajaan harus bantu supaya tidak membebankan mereka. Kita tidak mahu berlaku keadaan seperti kawasan kondominium mewah ada sekuriti, tetapi di flat orang susah tiada kawalan keselamatan.

Selain itu, kita sedang berbincang dengan CyberSecurity Malaysia untuk mewujudkan firewall (pengalis) di laman-laman web yang diguna oleh orang ramai. Lapisan pertama, lapisan kedua sehingga ke lapisan keselamatan bertaraf tentera bagi mengelak berlaku kecurian data. Sekiranya teknologi ini digunakan, kita boleh mengenal pasti penggodam dan scammer.

Untuk mewujudkan ciri-ciri keselamatan ini yang banyak negara maju telah buat, kita memerlukan perbelanjaan cukup besar kira-kira RM1.8 bilion. Sebab itu saya sebut tadi, kita perlu caj pengguna kaya, buruh asing dan syarikat luar negara yang tidak membayar cukai.

Ada pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan ini, tetapi mereka tidak bantu pun rakyat yang menjadi mangsa. Laporan yang kita terima, tahun ini sahaja dari Januari hingga Oktober, terdapat lebih 9,000 kes fraud melalui telefon dan internet dengan nilai kerugian kira-kira RM727 juta.

JASA ‘LAWAN’ MACAU SCAM

Kenapakah masih ramai yang tertipu dengan sindiket Macau Scam sedangkan pelbagai kempen kesedaran telah diadakan?
Kita lihat bahawa peranan kerajaan mendidik rakyat ini cukup penting. Sebab itulah bajet Jasa (dijenama semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti atau J-KOM) ini kita cadang ditingkatkan.
Kebanyakan pegawai J-KOM yang bakal dilantik ini mesti mahir menggunakan media sosial dan mereka akan membantu kementerian ini memberi pendidikan kepada pengguna internet supaya bijak dan celik keselamatan digital termasuk masyarakat luar bandar yang baru menggunakan kemudahan terbabit.
Mereka juga bertanggungjawab membantu kementerian ini serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk melahirkan lebih ramai peniaga dalam talian.

Bagaimana pula mereka yang suka menyebar berita tidak benar dan mengutuk pemimpin?
Peranan lain pegawai J-KOM adalah mendidik pengguna internet supaya lebih berhemah dan tidak mengeji pemimpin. Kebanyakan mereka yang mengutuk pemimpin adalah dalam kalangan orang Melayu, mengutuk sesama sendiri. Mereka mengutuk raja-raja Melayu, bab-bab agama dan kaum. Jarang sekali masyarakat bukan Melayu ‘membantai’ pemimpin mereka.
Tiada guna negara ini maju ke depan tetapi masyarakatnya porak-peranda dengan pengguna internet melaga-lagakan masyarakat, kurang berhemah serta tidak mewujudkan keharmonian dan kestabilan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×