JOHOR BAHRU – Polis bantuan menemukan mayat seorang wanita yang terapung berhampiran jeti bot di Teluk Danga di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mayat berusia 26 tahun itu ditemui di kawasan berkenaan pada 6.40 petang sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini untuk dibedah siasat.
Katanya, siasatan awal ke atas pemeriksaan luar badan mangsa dapati tiada kesan cedera dan tiada kesan jenayah berlaku.
“Hasil bedah siasat yang dilakukan mengesahkan mangsa meninggal dunia disebabkan mati lemas. Ketika ditemui mayatnya juga tidak menunjukkan sebarang kesan cedera.
“Polis mengesyaki kejadian ini adalah bunuh diri kerana tiada sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shahurinain berkata, polis juga berjaya menemukan kenderaan milik mangsa yang diletakkan berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, waris mangsa iaitu bapa kandungnya yang tinggal di Taman Nusa Bestari, Skudai mengesahkan mayat tersebut ialah anak kandungnya ketika proses pengecaman dilakukan di hospital terbabit.
“Polis masih lagi menjalankan siasatan dan akan mengambil keterangan orang terdekat dengan mangsa untuk mengetahui kelakukan mangsa sebelum kejadian,” katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE











