PUTRAJAYA 31 Mei- Masjid Negara akan melaksanakan solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal 1440H/2019M bermula pukul 8.30 pagi hingga 9.15 pagi.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, biarpun Masjid Negara masih dalam proses baik pulih dan naik taraf, namun Dewan Solat Utama sudah siap sepenuhnya.
“Seperti tahun-tahun yang lalu, Masjid Negara dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menyiarkan siaran solat sunat Aidilfitri secara langsung di TV1.
“Solat bermula pada pukul 8.30 pagi hingga 9.15 pagi termasuk khutbah hari raya. Manakala takbir raya aidilfitri akan bermula pada pukul 7.00 pagi sehingga bermula solat sunat Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohamad Nordin, segala kemudahan lain di Masjid Negara untuk kegunaan para jemaah adalah sedia untuk digunakan termasuk kemudahan bilik tetamu, tandas dan lift untuk orang kenamaan.
Dalam pada itu, Mohamad Nordin turut mengucapkan selamat beribadah di penghujung Ramadan ke arah mencapai ganjaran lailatulqadar dan seterusnya selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam.-UTUSAN ONLINE











