KUALA LUMPUR 31 Mei – Majlis Permuafakatan Ngo Felda (MPNF) berharap agar pemberian Bantuan Khas Hari Raya Aidifitri berjumlah RM300 dapat menggalakkan peneroka Felda meningkatkan hasil pengeluaran mereka.
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, pemberian duit raya itu ibarat satu insentif produktiviti kepada peneroka Felda serta inisiatif buat peneroka menjual hasil mereka di kilang Felda (kini FGV Holdings Berhad), meskipun jumlahnya lebih rendah berbanding tahun lalu.
“Memahami kewangan kerajaan khususnya Felda, setidak-tidaknya bantuan itu pasti melegakan 112,635 peneroka Felda seluruh negara. Pengumuman ini akan memberi rangsangan bukan sahaja kepada peneroka tetapi juga Generasi Baharu Felda sebagai kelompok majoriti yang terlibat dalam pembangunan ladang peneroka selaku pentadbir atau pewaris.
“MPNF menggesa agar FGV juga berbuat demikian dalam bentuk dividen Interim seperti amalan tahun tahun sebelum ini. Ia amat munasabah kerana saham Felda dan Peneroka dalam FGV tidak kurang daripada 34 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mazlan melahirkan rasa terharu atas keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyalurkan bantuan itu kepada peneroka Felda di seluruh negara hari ini.
Dr. Mahathir dilaporkan berkata, bantuan yang dijangka membabitkan peruntukan berjumlah RM34 juta itu telah dimuktamadkan memandangkan masalah kewangan peneroka Felda ketika ini. -UTUSAN ONLINE











