KUALA LUMPUR 31 Mei – Menjelang ketibaan Syawal tidak lama lagi, pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan dan swasta memuat naik rakaman video yang menceritakan suka duka menyambut Hari Lebaran.
Pelbagai pihak tampil menghasilkan video kreatif bertemakan suasana Aidilfitri yang secara tidak langsung menyentuh hati penonton.
Kementerian Hal Ehwal Ekonomi juga tidak ketinggalan menghasilkan filem web bertemakan Hari Raya Aidilfitri dalam laman sesawang kementerian itu.
Filem web itu mengisahkan Pak Ali yang tinggal berseorangan setelah kematian isteri dan mempunyai 31 orang cucu.
Apabila Aidilfitri menjelang tiba, Pak Ali dikejutkan dengan panggilan telefon anaknya yang mengatakan kesemua anak dan cucunya akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya.
Bagi membolehkan beliau memberikan duit raya kepada semua cucunya pada Hari Raya Aidilfitri nanti, Pak Ali telah membuat dan menjual dodol dengan resepi arwah isterinya. Bantuan dan sokongan orang-orang kampung telah menjayakan misi raya Pak Ali.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali tidak ketinggalan turut berlakon dalam filem web berkenaan.
Orang ramai yang ingin mengetahui kisah selanjutnya boleh layari laman web https://www.mea.gov.my/ms/content/31-cucu-2019-video-raya-kementerian-hal-ehwal-ekonomi
-UTUSAN ONLINE











