LILLE, Perancis – Seorang wanita berusia 102 tahun ditempatkan di sebuah pusat penjagaan pesakit psikiatrik selepas disyaki membunuh jirannya berumur 92 tahun di sebuah rumah penjagaan orang tua di sini baru-baru ini, menurut pihak pendakwa raya.
Mangsa ditemui mati pada malam Sabtu lalu dengan keadaan wajah bengkak di dalam biliknya di pusat itu di pekan Chezy-sur-Marne.
Pendakwa raya, Frederic Trinh berkata, laporan bedah siasat mendapati mangsa maut akibat asfiksia kerana dicekik dan pukul pada bahagian kepala.
“Jirannya di bilik sebelah, berusia 102 tahun didapati berada dalam keadaan terganggu. Dia memberitahu seorang pegawai perubatan bahawa dia telah membunuh seseorang,” katanya.
Suspek dipindahkan ke unit psikiatrik selepas beberapa ujian dijalankan mendapati dia berada dalam keadaan keliru.
Pihak berkuasa menyiasat kes itu sebagai membunuh dengan niat.
Menurut Trinh, wanita itu masih belum disoal siasat namun penyiasatan masih dijalankan.
Suspek akan menjalani pemeriksaan psikologi untuk menentukan sama ada dia layak untuk dikenakan hukuman di bawah undang-undang jenayah. – AFP











