BANGKOK 24 Mei – Kemelut politik Thailand dilapor selesai selepas Parti Palang Pracharath (PPRP) didakwa mendapat sokongan yang cukup bagi membentuk kerajaan baharu negara ini.
Lapor Bangkok Post yang memetik sumber tentera sebagai berkata, PPRP akan disertai oleh Parti Demokrat dan Bhumjaithai selain meraih sokongan New Economics Party (NEP).
Jelasnya, kebarangkalian itu amat kuat menyebelahi PPRP berikutan dua perkembangan besar yang berlaku, semalam.
“Pertama, peletakan jawatan Mingkwan Saengsuwan sebagai pemimpin NEP yang sebelum ini berikrar untuk menyertai perikatan blok diketuai Pheu Thai.
“Spekulasi yang tersebar menyatakan Mingkwan tidak menyokong langkah partinya yang mahu memihak PPRP kerana telah membuat pengumuman tidak akan menyokong Jeneral Prayut Chan-o-cha,” kata sumber itu, semalam.
Satu lagi perkembangan besar semalam ialah mesyuarat antara Prayut, Timbalannya, Prawit Wongsuwon, pemimpin Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul dan Setiausaha Agung Demokrat, Chalermchai Sri-on di sebuah kem tentera, di sini.
“Mereka berbincang bagi membentuk kerajaan dengan PPRP sebagai parti utama yang mana ‘mood’ mesyuarat menunjukkan, ‘perjanjian’ untuk membentuk kerajaan hampir dicapai,” ujar sumber itu lagi.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Wissanu Krea-ngam memberitahu, Perdana Menteri baharu dijangka diumumkan bulan ini ketika kerajaan baharu dijangka menyampaikan kenyataan dasar sebelum Parlimen bermula bulan depan.
Jelasnya, pembentukan kerajaan baharu akan mengambil tempat selepas pembukaan rasmi Parlimen, hari ini.
“Speaker Senat dan Dewan Parlimen akan dipilih serta mendapat kelulusan diraja seterusnya Perdana Menteri baharu dijangka akan mengambil tempat,” ujarnya. – AGENSI











