Warga asing guna kereta sewa edar dadah - Utusan Malaysia

Warga asing guna kereta sewa edar dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG – Seorang lelaki warga Nigeria yang didapati menjalankan kegiatan pengedaran dadah dengan menggunakan kereta sewa ditahan polis sewaktu berada di dalam kereta tersebut di sekitar kawasan sebuah kondominium di Bandar Kinrara, Puchong di sini awal pagi tadi.

Lelaki berkenaan didapati menyewa sebuah kereta jenis Honda City dengan bayaran RM3,000 sebulan serta menginap di pelbagai lokasi berasingan seperti hotel dan kondominium bagi mengelakkan kedudukannya mudah dikesan polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, tangkapan sekitar pukul 1.30 pagi itu dibuat oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang susulan hasil risikan yang telah dilakukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Suspek berusia dalam lingkungan 30-an dan pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta dipandunya itu telah menemui pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM90,000 yang diletakkan di ruangan kaki bahagian pemandu.

“Antara dadah yang berjaya dirampas daripada suspek adalah sebanyak 791.48 gram (g) dadah dipercayai jenis syabu dan 769.8 g atau 1,420 biji pil ekstasi pelbagai warna,” katanya pada satu sidang akhbar di IPD Serdang di sini.

Menurut Ismadi, tangkapan dilakukan sewaktu suspek hendak menghantar bekalan dadah kepada pelanggan dan siasatan awal yang dilakukan mendapati lelaki itu mendapatkan bekalan dadah dari pengedar di sekitar kawasan Kuala Lumpur untuk diedarkan di sekitar Lembah Klang.

“Suspek mendakwa masuk ke negara ini dengan menggunakan pas pelajar namun gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah bagi membuktikan dakwaan tersebut.

“Kita percaya suspek telah berada di Malaysia sejak lapan tahun yang lalu dan aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah lebih daripada lima bulan lepas,” jelas beliau.

Ismadi berkata, suspek kini direman tujuh hari sehingga 30 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini