KEMAMAN 24 Mei – Projek pembinaan kompleks Kuala Terengganu Support Base (KTSB) di Tanjung, Kuala Terengganu milik anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) kini berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Saabi Wahab berkata, projek berkenaan merupakan salah satu daripada komponen utama di bawah projek mega bersepadu Kuala Terengganu City Centre (KTCC).
“Sehingga kini status pelaksanaan projek tersebut (KTSB) agak memberangsangkan,” ujarnya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis Iftar Ramadan EPIC Bersama Pelajar-Pelajar Tahfiz Sekitar Kemaman di Dewan Serbaguna Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) Sdn. Bhd. di sini semalam.
Menurut Saabi, kajian berkaitan pembinaan kompleks tersebut termasuk dari aspek hidrografi baharu sahaja selesai dilakukan sebelum kerja-kerja memulakan proses dokumen tender dilakukan hujung Mei ini bagi membina sebuah jeti kekal menggantikan jeti sementara di situ.
“Antara komponen utama projek tersebut ialah untuk membina sebuah jeti pendaratan kekal bagi penggunaan kapal atau bot bagi menggantikan jeti sementara yang ada di situ dengan beberapa kemudahan sampingan lain.
“Apabila siap sepenuhnya nanti kompleks KTSB itu bakal dilengkapkan dengan beberapa kemudahan asas lain termasuk pejabat imigresen yang dilengkapi dengan mesin imbasan (scanning), ruang-ruang pejabat bagi pelanggan utama EPIC seperti Petronas dan ExxonMobil,” katanya.
Antara kemudahan lain yang turut dibina ialah surau, cafe dan beberapa buah bilik rehat untuk dijadikan tempat pertukaran pekerja pelantar minyak bagi syarikat Petronas dan Exxonmobil.
Menurut Saabi, jeti berkenaan juga bakal dijadikan tempat bagi kemudahan bot-bot pelancong membawa penumpang dan para pelancong ke beberapa destinasi pulau peranginan terkenal di Terengganu. – UTUSAN ONLINE











