R9X peluru berpandu AS tidak meletup - Utusan Malaysia

R9X peluru berpandu AS tidak meletup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 10 MEI – AMERIKA SYARIKAT (AS) dilapor membangunkan peluru berpandu rahsia yang dilengkapi enam bilah pisau bagi menyasarkan pengganas tanpa membunuh orang awam.

Mail Online yang memetik laporan Wall Street Journal sebagai berkata, senjata dikenali sebagai R9X atau ‘flying Ginsu’ itu direka untuk memusnahkan sasaran melalui pengguguran bom yang tidak meletup.

R9X akan gugur memasuki bangunan dan kereta dengan dibantu enam bilah pisau besar yang keluar beberapa saat sebelum impak sekali gus me­ngu­rangkan kecederaan diakibatkan peluru berpandu yang kebiasaannya meledak dan mengenai sasaran serta kawasan sekitar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Gizmodo melaporkan, wartawan membuat spekulasi berhubung penggunaan senjata baharu itu sejak 2017 setelah gambar anggota militan Al-Qaeda, Abu Khayr al Masri dilihat mati dalam kereta dengan kesan tembusan besar dari bumbung kenderaan berkenaan.

Wartawan ketika itu terkejut besar melihat kenderaan terlibat masih utuh dan tidak hancur.

Selain itu, berdasarkan temubual bersama lebih 12 pegawai dan bekas kakitangan ke­rajaan, R9X dibangunkan sebahagiannya atas kehendak bekas Presiden, Barack Obama untuk mencegah kematian orang awam disebabkan serangan udara daripada program dron Agensi Perisikan Pusat (CIA).

Data Biro Kewartawanan Penyiasatan yang merekodkan kesan serangan dron AS di luar negara sejak 2004 mendapati, serangan dron membunuh antara 769 hingga 1,725 orang awam yang mana 253 ke 397 merupakan kanak-kanak.

Menurut pegawai dalam laporan itu lagi, R9X bukan sahaja mengurangkan risiko kematian orang awam malah menawarkan lebih banyak peluang tempat serangan namun bergantung kepada ketepatan dan maklumat risikan pegawai tentera.

Laporan itu menambah, peluru berpandu berkenaan telah digunakan secara berkala sejak 2011 sebanyak enam kali dan antara sasarannya adalah Jamal al-Badawi, suspek serangan bom pada 2000 yang membunuh 17 orang kelasi.–AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini