BANGI 3 Mei – Tiada kes penderaan dilaporkan berlaku di mana-mana Tabika dan Taska kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berikutan pemantauan dan kaunseling berterusan diberikan kepada golongan guru, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
Beliau berkata, setiap guru Tabika wajib lulus ujian psikometrik bagi memastikan mereka layak diberikan amanah membimbing kanak-kanak.
Komuniti setempat turut memainkan peranan penting dalam menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Kemas tentang perkembangan di tabika dan taska, katanya.
“Selain guru-guru terlatih, pemantauan kami juga diadakan dari hari ke hari,” katanya dalam sidang akhbar selepas menutup dan menyampaikan sijil kursus Sijil Pendidikan Awal Kanak-Kanak (SPAK) Tabika/Taska Siri 1/2019 kepada 198 pelatih, di sini hari ini.
Rina dalam pada itu berkata, golongan lelaki digalakkan untuk memohon kerjaya sebagai guru Tabika kendalian Kemas untuk berkhidmat terutamanya di kawasan pedalaman.
“Meskipun dikuasai wanita, namun terdapat juga minat mendalam dalam kalangan golongan lelaki bagi kerjaya itu (menjadi guru). Harapan saya lebih ramai lelaki bersama jadi guru Tabika yang terletak jauh di kawasan pedalaman,” katanya. – BERNAMA











