IPOH – Ibu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu iaitu Datin Zaliha Nordin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang, Fair Park di sini sebentar tadi.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pada pukul 11 pagi dengan dihadiri lebih 1,000 orang.
Ahmad Faizal sendiri mengimamkan solat jenazah ke atas ibunya manakala doa dibacakan Imam Besar Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh.
Beliau kemudian turut mengusung jenazah ibunya sejauh kira-kira 200 meter untuk dikebumikan di sebelah kubur ayahnya, Allahyarham Datuk Azumu Tak.
Turut hadir, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari Kediaman Rasmi Menteri Besar dan tiba di Masjid Al-Khairiah, Kampung Kepayang pada pukul 10.15 pagi untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.
Bermula malam semalam lagi, kediaman rasmi di Jalan Raja Di Hilir itu mula dihadiri barisan kepimpinan kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan serta orang ramai.
Turut berangkat memberikan penghormatan terakhir terhadap Allahyarham ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.
Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada usia 79 tahun di rumahnya di Kampung Sungai Rokam di sini pada pukul 7.25 malam semalam akibat sakit tua.
Allahyarham mempunyai lapan orang anak dan Ahmad Faizal merupakan anak ketujuhnya. – K! ONLINE











