PUTRAJAYA 29 April- Kerajaan disarankan agar mewajibkan semua bangunan lama terutamanya kediaman yang berusia lebih 20 tahun menjalani audit keselamatan setiap tahun menjamin tahap keselamatan penghuni.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan maklumat tepat mengenai aspek kerosakan dan keselamatan diperolehi.
“Bangunan kediaman atau pejabat kalau dianggap bangunan usang, saya rasa penting untuk dilakukan audit keselamatan. Dengan cara ini, kita boleh kenal pasti setiap permasalahan contohnya keretakan dan aspek penyelenggaraan.
“Jadi saya cadangkan agar mana-mana bangunan yang lebih 20 tahun diwajibkan menjalani audit tahunan dan kita juga tidak boleh berkompromi dalam aspek keselamatan penghuni,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu berbincang dengan semua kerajaan negeri untuk baik pulih atau bina semula rumah flat yang dibina lebih 30 tahun.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata, dalam polisi perumahan negara juga telah dinyatakan mengenai cadangan pembangunan semula flat yang berusia lebih 30 tahun di semua negeri.
Pada Jumaat lalu, sebanyak 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai, Ampang Jaya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara susulan penemuan kesan keretakan di bangunan kediaman tersebut.
Susulan kejadian itu, Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof memaklumkan semua penghuni itu dipindahkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat sebagai langkah keselamatan.-UTUSAN ONLINE











