PULAU PINANG 29 April – Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini menerima seramai 9.1 juta pengguna domestik dan asing bagi tempoh kira-kira setahun iaitu antara Januari 2018 hingga Februari lalu.
Jumlah itu jauh lebih tinggi berbanding kapasiti penumpang yang boleh dikendalikan LTAPP dalam setahun ketika ini iaitu hanya 6.5 juta penumpang.
Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, daripada jumlah 9.1 juta pengguna itu, kira-kira 4.2 juta daripadanya merupakan pengguna antarabangsa manakala selebihnya iaitu 4.9 juta pengguna domestik.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) ketika ini dalam rancangan menaik taraf dan membesarkan LTAPP dengan sasaran untuk menampung sehingga 12 juta penumpang setahun.
Ketika ini, ujar beliau, dua syarikat telah dilantik sebagai juruperunding bagi kerja-kerja menaik taraf dan membesarkan LTAPP itu pada 15 Februari lalu secara tender terbuka oleh MAHB.
“Projek menaik taraf dan pembesaran LTAPP itu dijadualkan bermula pada Jun 2020 dan mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan lisan Goh Choon Aik (PKR-Bukit Tambun) berhubung status rancangan menaik taraf LTAPP di sini.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerja-kerja pembinaan bangunan letak kereta bertingkat di LTAPP sedang berjalan ketika ini selepas dimulakan pada Ogos tahun lalu yang dijangka mengambil masa selama 14 bulan.
“Bangunan letak kereta bertingkat itu akan menyediakan kira-kira 1,800 lot parkir untuk blok A (fasa pertama) dan fasiliti ini akan memberi kemudahan yang lebih selesa dan selamat kepada para pengguna,” katanya. – UTUSAN ONLINE











