KUALA NERANG – Hanya kerana dadah, seorang wanita warga emas nyaris maut apabila hampir dikelar pada leher menggunakan parang oleh anak kandungnya sendiri dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Tanjung Piring dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, suspek yang berusia 35 tahun mengamuk selepas permintaannya untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah tidak diendahkan ibunya yang berusia 70 tahun.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, suspek yang dipercayai dalam pengaruh dadah bertindak menolak ibunya sehingga terjatuh di ruang tamu rumah sebelum mencapai sebilah parang lalu cuba mengelar leher mangsa.
“Wanita terbabit melawan dan sempat menolak tangan suspek daripada mengelar lehernya sebelum lari menyelamatkan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa yang mengalami kecederaan pada lutut kanan akibat terjatuh ketika bergelut dengan suspek mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Nerang.
Menurut Noh, suspek yang merupakan seorang duda berjaya ditahan pada pukul 11.15 malam dan pihaknya turut merampas sebilah parang yang digunakan dalam cubaan untuk mengelar leher ibunya.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah,” ujarnya.
Tambahnya, motif perbuatan suspek yang tidak bekerja itu dipercayai bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah jenis syabu dan heroin.
“Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh,” katanya. – K! ONLINE











