Anak nyaris kelar leher ibu - Utusan Malaysia

Anak nyaris kelar leher ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP 29 April – Akibat dipengaruhi dadah, seorang lelaki yang gagal mendapatkan wang untuk membeli barangan haram itu, nyaris mengelar leher ibu kandungnya sendiri dengan sebilah sabit kecil di Kampung Tanjung Piring Nami, Kuala Nerang di sini, malam tadi.

Mangsa berusia 69 tahun itu, bernasib baik kerana sempat menolak tangan suspek yang mahu mengelar lehernya semasa dia terjatuh dan cedera di bahagian lutut akibat ditolak anaknya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Noh Idris berkata, bertindak atas maklumat, polis bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan suspek yang berusia 35 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, polis turut merampas sebilah sabit kecil berukuran 43 sentimeter yang disyaki digunakan dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu.

“Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian lutut. Hasil pemeriksaan mendapati suspek di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kata beliau, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu di bawah Seksyen 6(1)(A) dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Menurut Noh, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini