PULAU PINANG 29 April – Polis negeri ini berjaya menumpaskan satu sindiket memproses dan mengedar serbuk minuman bercampur dadah dengan tertangkapnya lima individu termasuk seorang wanita warga Vietnam berusia 29 tahun.
Kesemua mereka termasuk empat lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 55 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sekitar Pulau Tikus di sini dalam operasi kira-kira pukul 11.30 malam Rabu lalu.
Menurut Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran, operasi itu susulan penahanan suspek yang menaiki kenderaan jenis Nissan Almera yang membawa kepada serbuan di sebuah rumah di kawasan itu pada hari kejadian.
Dalam serbuan di rumah itu, kata beliau, pihaknya menemukan dan merampas sebanyak 276 paket serbuk minuman pelbagai jenama disyaki mengandungi dadah jenis MDMA; 21 batang rokok disyaki mengandungi ganja; 381 gram (g) dadah disyaki MDMA dan 5,070 biji pil disyaki Ermin 5.
Turut dirampas, tambahnya, adalah sebanyak 2,000 biji pil disyaki Ekstasi; 41 paket lutsinar serbuk dipercayai dadah ketamin (1,217g) dan sepaket dadah disyaki syabu (47g).
“Sindiket ini bukan sahaja melakukan kegiatan menghasilkan serbuk minuman segera bercampur dadah, malah turut memproses beberapa jenis dadah sintetik lain yang mana nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM338,250,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen negeri (IPK), di sini pagi tadi.
Menurut Narenasagaran, pihaknya percaya sindiket itu menghasilkan dan membungkus sendiri dadah berkenaan berdasarkan alat memproses dadah yang ditemukan di lokasi serbuan.
Katanya, dadah yang dihasilkan itu termasuk dalam bentuk serbuk minuman dipercayai dipasarkan di pusat-pusat hiburan di negeri ini.
“Bagaimanapun kita masih menyiasat jumlah kandungan dadah yang terdapat di dalam serbuk-serbuk minuman terbabit dan sampelnya telah dihantar ke jabatan kimia.
“Apa yang membimbangkan kita adalah apabila serbuk minuman bercampur dadah ini terlepas kepada orang awam yang tidak mengetahui mengenai kandungan sebenarnya,” katanya.
Tambah beliau, dalam operasi itu juga, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM52,418.29, akaun bank sebanyak RM17,718.29 dan sebuah kereta jenis Nissan Almera bernilai RM32,000.
“Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini.mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE











