GEORGE TOWN – Satu sindiket memproses dan mengedar serbuk minuman bercampur dadah tumpas selepas polis menahan lima individu menerusi serbuan di dua lokasi di Pulau Tikus di sini pada Rabu lalu.
Dalam serbuan sekitar pukul 11 malam hingga 11.30 malam itu, mereka yang ditahan ialah empat lelaki warga tempatan berusia di antara 24 hingga 55 tahun dan seorang wanita warga Vietnam berusia 29 tahun.
Ketua Polis negeri, Datuk T. Narenasagaran berkata, menerusi serbuan itu, pihaknya merampas sejumlah dadah bernilai RM338,250 dan peralatan memprosesnya.
“Sebanyak 276 paket serbuk minuman pelbagai jenama disyaki mengandungi dadah jenis MDMA dirampas di samping 21 batang rokok disyaki mengandungi ganja, 381 gram (g) dadah disyaki MDMA dan 5,070 biji pil disyaki Erimin 5.
“Selaian itu, turut dirampas ialah 2,000 biji pil disyaki Ekstasi, 41 paket lutsinar serbuk dipercayai dadah ketamin (1,217g) dan sepaket dadah disyaki syabu (47g),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini sebentar tadi.
Menurutnya, polis percaya dadah-dadah berkenaan adalah bagi pasaran di pusat-pusat hiburan di negeri ini.
“Cuma apa yang merisaukan apabila orang awam yang tidak tahu apa-apa ingin mencuba miniman itu,” katanya.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952. – K! ONLINE











