MANCHESTER 29 April – Ole Gunnar Solskjaer menegaskan, dia tidak akan menggugurkan David de Gea biarpun kesilapan terbaru penjaga gol itu menyebabkan Manchester United seri 1-1 dengan Chelsea semalam, dan menyempitkan peluang beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan.
“Tidak,” kata pengendali United itu ketika ditanya apakah De Gea patut direhatkan dalam dua baki perlawanan United pada saingan Liga Perdana Inggeris.
Menurut Solskjaer, penjaga gol Sepanyol itu telah menunjukkan persembahan baik sepanjang musim ini.
“David banyak kali menyelamatkan mata kami dengan prestasinya yang menakjubkan musim ini.
“Dalam bola sepak, kesilapan boleh berlaku kepada semua orang dan saya percaya dia akan menunjukkan reaksi baik selepas ini,” kata Solskjaer.
Solskjaer turut memberi bayangan, penjaga gol berusia 29 tahun itu akan diturunkan apabila City bertandang ke Huddersfield Town, Ahad ini.
Keputusan seri di Old Trafford menyaksikan United kini kekal di tangga keenam liga dengan 65 mata, tiga mata di belakang pasukan tempat keempat, Chelsea manakala Arsenal kelima dengan 66 mata.
Dalam perlawanan itu, United bermula baik apabila mendahului seawal minit ke-11 menerusi Juan Mata.
Bagaimanapun, kegagalan De Gea menampan kemas bola rembatan Antonio Rudiger dari jarak 30 ela membolehkan Marcos Alonso meledak gol penyamaan dengan hanya menolak bola ke pintu gol pada minit ke-43.
Sembilan gol yang dilepaskan United musim ini berpunca daripada kesilapan De Gea, termasuk ketika pasukan itu tewas 0-2 kepada Manchester City di Old Trafford, Rabu lalu.
Malah, dia melakukan dua kesilapan ketika Red Devils dimalukan 0-4 oleh Everton dalam saingan liga, 21 April lalu. – AGENSI











