MAQIS gagalkan tiga cubaan seludup kucing pelbagai spesies - Utusan Malaysia

MAQIS gagalkan tiga cubaan seludup kucing pelbagai spesies

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 29 April – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) berjaya menggagalkan tiga cubaan menyeludup sebanyak 15 ekor kucing pelbagai spesies ke negara ini dalam tempoh seminggu.

Dalam kejadian Isnin lalu, MAQIS telah menggagalkan cubaan menyeludup empat ekor kucing spesies Maine Coon dan Abyssinian dari Ukraine di Animal Hotel MAS Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

DR. TARMISAL ALIMIN
DR. TARMISAL ALIMIN 

Pengarah MAQIS Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, hasil maklumat dan risikan, pegawai MAQIS telah menahan seorang penumpang di pintu masuk bahagian Pencegah Kastam Kargo KLIA ketika membawa kucing itu di dalam sebuah kenderaan persendirian jenis Alphard tanpa permit import (IP) daripada MAQIS.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat empat ekor kucing yang diletakkan di bahagian kerusi belakang kereta yang tertera nama kucing tersebut pada setiap sangkar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tarmisal berkata, dua hari sebelum itu iaitu pada 20 April lalu pula, pegawai MAQIS turut menahan lima ekor kucing pelbagai spesies yang cuba diseludup tanpa sebarang permit dari Rusia ke negara ini.

Sementara pada 18 April pula katanya, pegawai MAQIS telah menahan enam ekor kucing daripada spesies Exotic Shorthair dari Hong Kong di Animal Hotel Mas Kargo KLIA yang cuba diseludup masuk ke negara ini.

Beliau berkata, dalam kes berkenaan, pengimport telah memalsukan permit import MAQIS dan perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 2011].

Jelasnya, mengimport haiwan tanpa permit yang sah adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 11 (1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” jelas beliau.

Kesemua kucing yang ditahan katanya, telah dihantar ke Stesen Kuarantin Haiwan (SKH) KLIA untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Tarmisal, kejayaan tersebut hasil kerjasama MAQIS dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) di kawasan pemeriksaan Kastam Kargo KLIA.

 

MAQIS katanya, akan terus komited dalam membanteras kegiatan penyeludupan di semua pintu masuk negara.

“Penyeludupan haiwan kesayangan akan menyebabkan risiko tinggi, kemungkinan negara terdedah kepada penyakit haiwan dan zoonotik seperti rabies,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini