KUALA LUMPUR 27 April – Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais diingatkan supaya tidak terlalu emosi dalam membuat sebarang dakwaan yang boleh menjejaskan masa depan bola sepak negeri itu.
Bekas Pengarah Kejurulatihan Sarawak, Abdul Wahet Uji berkata, Posa seharusnya memberi fokus memperbaiki segala kelemahan pengurusan di peringkat negeri sebelum menuding jari ke arah Malaysian Football League(MFL). Katanya, pengurusan kewangan FAS sehingga kini masih gagal diaudit walaupun MFL sudah banyak kali memintanya bagi tujuan pelesenan kelab.
Dia menyifatkan, Posa sebagai individu kurang sesuai untuk menerajui FAS kerana kebanyakan keputusan yang dilakukannya memberi kesan buruk kepada pasukan.
“Bagi saya masalah sekarang (didenda kerana kelewatan dokumen) adalah berpunca daripada FAS sendiri kerana tahap pengurusan yang amat mengecewakan.
“Bayangkan, MFL dari 2016 sentiasa mahu membantu Sarawak tetapi difahamkan laporan kewangan FAS sentiasa bermasalah untuk diaudit malah sehingga kini statusnya masih tergantung.
“Kini beliau memilih cara sebegini (konfrontrasi) dengan MFL, saya rasa langkah ini boleh membunuh bola sepak Sarawak ketika bola sepak negeri ini perlu jadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-UTUSAN ONLINE











