Baki simpanan air tidak dibazir - Utusan Malaysia

Baki simpanan air tidak dibazir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 April – Walaupun gangguan bekalan air pulih sepenuhnya hari ini, orang ramai mengambil langkah berjimat-cermat dengan memanfaatkan baki simpanan air yang masih ada.

Pemilik pusat cuci kereta, Norzain Idaham, 58, berkata, air yang ditadah di dalam tong besar akan dihabiskan terlebih dahulu bagi mengelak pembaziran.

“Air yang masih ada perlu digunakan sebaik – baiknya kerana semuanya melibatkan kos.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekurang-kurangnya saya dapat mengurangkan bil air pada bulan ini dengan menggunakan air yang ditadah baru-baru ini.

“Air yang disimpan adalah air bersih jadi kenapa kita perlu membazir. Kalau boleh kita berjimat-cermat, manalah tahu esok lusa terputus bekalan air lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika tinjauan ke pusat cuci kereta di sekitar ibu negara.

Tambahnya, ketika bekalan air terputus perniagaannya turut terjejas namun masih mempunyai air yang disimpan untuk mencuci kereta pelanggan.

Katanya, simpanan air di rumah juga masih banyak dan akan digunakan untuk mandi, menyiram pokok bunga, membasuh pakaian dan mencuci bilik air.

“Ketika bekalan air terputus kita tidak dapat mencuci betul-betul jadi bolehlah gunakan air yang disimpan untuk mandi, mencuci tandas, baju dan sebagainya supaya air tersebut tidak dibuang begitu sahaja.

Gangguan bekalan air berjadual susulan kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) yang bermula Rabu lalu mula pulih sejak semalam.

Henti tugas LRA SSP2 itu menyebabkan gangguan bekalan air membabitkan 620,835 pemilik akaun atau lebih 4 juta pengguna di Shah Alam, Klang, Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerja-kerja penambaikan telah pulih sepenuhnya dan kawasan yang terlibat telah menerima bekalan air. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini