Zamani bermula dengan mesin basuh biasa - Utusan Malaysia

Zamani bermula dengan mesin basuh biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buat dahulu, baru fikir risiko. Prinsip itu dipegang oleh Pengarah Urusan Qubah Emas Resources Sdn. Bhd., Zamani Zakaria, 39, ketika mula menceburkan diri dalam perniagaan dobi pada 2010.

Baginya, kejayaan sebenar bergantung pada akal dan ke­sungguhan dalam mencari peluang yang ada. Tahap pendidikan juga bukan jaminan untuk hidup senang, tetapi tidak menolak kepentingan akademik.

Sebelum berjaya, Zamani melakukan pelbagai kerja termasuk buruh binaan dengan gaji RM450 sebulan, penyelia kilang plastik dan ejen jualan langsung. Waktu malam pula mengutip kotak dan tin kosong untuk dijual bagi menampung perbelanjaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya bukan berasal dari keluarga senang. Ketika di bangku sekolah, saya pernah berniaga air kelapa pada waktu petang.

“Waktu itu gaji tidak setimpal dengan usaha yang dicurahkan. Oleh itu, pada 2009 saya mula menjual produk kecantikan bersama isteri di pelbagai tempat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Kehidupannya mula berubah apabila beliau membuka kedai dobi pertama pada 2010 dengan hanya menggunakan mesin basuh domestik.

“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk membuka perniagaan dobi. Alhamdulillah, dalam tempoh enam bulan ternyata sambutan amat menggalakkan,” katanya yang berasal dari Teluk Intan, Perak.

Sebelum memulakan perniagaan, beliau hanya bergantung pada YouTube dan Google. Malah, beliau tidak pernah mengikuti kursus atau latihan secara formal.

Zamani memfokuskan perkhidmatan dobi yang cekap, namun masih mengekalkan harga murah bagi meringankan beban terutama orang bujang. Trend dobi layan diri bermula 2013 lagi kerana memberikan kemudahan dan waktu yang fleksibel kepada pengguna.

Adan Laundry kini memiliki 41 cawangan yang mana 15 cawangan adalah milik korporat manakala selebihnya milik francaisi. Lokasi Adan Laundry tertumpu di sekitar Lembah Klang, Johor, Melaka dan Perak.

Bagi tujuan pengembangan perniagaan, Zamani mendapat bantuan kewangan daripada Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan setakat ini nilai pembiayaan termasuk kepada francais Adan Laundry berjumlah RM7.63 juta.

“Saya juga membuka kilang penyangkut baju pada 2012 yang terletak di Rawang, Se­langor. Tahun ini saya merancang untuk membangunkan francaisor induk bagi membantu operasi di setiap negeri yang ditembusi,” katanya yang memulakan francais Adan Laundry pada 2014.

Memahami keperluan dan kepayahan golongan berpendapatan rendah (B40), Zamani turut menawarkan pakej promosi dobi layan diri bernilai RM97,900 lengkap dengan peralatan dan pengubahsuaian.

Menurut beliau, pakej tersebut dapat membantu golongan B40 menambah pendapatan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Pakej ini sesuai untuk mereka yang mahu menjalankan perniagaan dobi tetapi dalam skala kecil kerana sasaran adalah di kawasan apartmen dan kondominium. Sasaran terhadap pakej pada tahun ini adalah 100 cawangan dan bantuan kewangan turut disediakan,” katanya.

Tambah Zamani, beliau sedia berkongsi ilmu dengan ­usahawan muda yang berminat dalam industri dobi.

“Biasanya perniagaan dobi ini dipelopori bukan bumiputera. Oleh itu, saya memang galakkan lebih ramai orang kita bergiat dalam industri ini agar sama-sama berjaya dalam ­bidang berlainan,” katanya.

l Memulakan perniagaan dobi pada 2010 secara timbang kilo

l Francais Adan Laundry bermula 2014

l Memiliki 41 cawangan dobi layan diri

l Lokasi tertumpu di Lembah Klang, Johor, Melaka, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini