LONDON 22 April – Nemanja Matic mengambil tanggungjawab penuh terhadap kekalahan 0-4 Manchester United kepada Everton di Goodison Park, semalam.
The Red Devils menjadi mangsa belasahan Everton dalam perlawanan itu dengan Richarlison membuka tirai jaringan sebelum Gylfi Sigurdsson menjaringkan gol kedua sebelum waktu rehat.
United yang gagal melakukan sebarang percubaan dalam 45 minit pertama gagal menampilkan aksi lebih baik pada separuh masa kedua dengan Luca Digne meledak jaringan ketiga tuan rumah sebelum Theo Walcott melangkapkan jaringan kemenangan.
Matic sebelum ini tidak beraksi kerana masalah kecederaan dan kali terakhir beraksi ketika menang 2-1 ke atas Watford pada 30 Mac lalu.
Dia kembali beraksi buat kali pertama menentang Everton, perlawanan yang menjadi mimpi ngeri kepada dia dan rakan sepasukannya.
Bercakap kepada pemberita selepas tamat perlawanan, Matic berkata, dia bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan United.
“Semuanya tidak berhasil untuk kami hari ini. Saya merupakan pemain paling berpengalaman dalam perlawanan ini tetapi saya tidak bermain dengan baik.
“Kita tidak boleh salahkan pemain muda dalam pasukan. Saya adalah masalah utama,” kata pemain tengah itu.
United kini hanya ada baki empat perlawanan untuk menyelamatkan kedudukan mereka bagi menghuni kedudukan empat teratas tetapi mereka akan berdepan Manchester City, Rabu ini.-AGENSI











