LANGKAWI 12 April – Pasukan Neri Sottoli Selle Italia berjaya mencuri satu gelaran juara apabila pelumbanya, Simone Bevilacqua mengungguli peringkat ketujuh Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 yang bermula dan berakhir di Pantai Cenang di sini sebentar tadi.
Naik ke podium buat kali pertama pada edisi kali ini, Bevilacqua mencatat masa 2j:17min:59s untuk menewaskan dua juga muka baharu yang kali pertama naik ke podium, Charlampos Kastrantas dari pasukan Brunei Continental, kedua dan pelumba St. George, Craig Wiggins, ketiga.
Mohd. Harrif Salleh dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) pula muncul pelumba tempatan terbaik negara di peringkat ketujuh ini dengan menduduki tempat kesembilan.
Jersi kuning masih kekal milik pelumba Sapura, Benjamin Dyball. – UTUSAN ONLINE











