LONDON 9 April – Bek tengah Liverpool, Virgil van Dijk mendedahkan, dia mengundi Raheem Sterling untuk memenangi anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana Inggeris 2018/2019 kerana percaya, bintang Manchester City adalah penerima paling layak.
Van Dijk dan Sterling antara calon pilihan untuk memenangi anugerah berkenaan selepas mempamer prestasi cemerlang sepanjang musim ini.
Undian antara kedua-dua pemain itu sangat sengit, seperti mana sengitnya persaingan merebut gelaran antara Liverpool dan City.
Van Dijk, 27, boleh sahaja mengundi pemain lain untuk mengurangkan undian Sterling, sekali gus mencerahkan peluangnya, namun kapten Belanda itu memilih untuk bersikap jujur.
“Saya undi Raheem Sterling. Saya lakukan apa yang saya fikir betul kerana dia memang layak.
“Dia mengharungi musim yang hebat. Mungkin saya juga boleh mengundi Bernando Silva atau beberapa pemain Manchester City yang lain.
“Tetapi saya mahu bersikap jujur, saya rasa Sterling menunjukkan peningkatan yang amat besar, kita tengok sahaja apakah dia akan menang atau tidak,” kata Van Dijk kepada FourFourTwo. – AGENSI










