KUALA LUMPUR 7 April – Lebih 50 ahli keluarga Zaharah Rentah atau lebih mesra disapa Ombung memeriahkan Sambutan Hari Keluarga D’Ombung yang diadakan di Kampung Dioh Besar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Program julung kali yang dihadiri oleh kesemua anak, cucu, dan cicit Zaharah itu bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan bagi memupuk kebahagiaan.
Anak bongsu, Zarina Hashim berkata, acara yang bermula dari pukul 8 pagi hingga 1 petang itu diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya rebut gula-gula, tiup belon, tarik tali, futsal, lari simpulan kasih (ikat kaki) dan mandi tepung.
“Program ini berjaya menepati matlamat untuk menyatukan sanak-saudara kami di sebuah lokasi perkampungan iaitu di halaman sendiri bagi mengimbau kembali kenangan lama sewaktu dibesarkan dahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











