KOTA BHARU 3 April – Kegagalan menyerap tekanan menjadi punca Kelantan tersingkir dari saingan Piala FA 2019 selepas tumbang 0-3 ditangan Selangor pada aksi pusingan kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.
Tanpa berselindung pengendali The Red Warriors (TRW) Marko Kraljevic berkata, gol pertama Selangor pada minit ke-62 babak kedua telah ‘membunuh’ mental barisan pemainnya.
Menurutnya, situasi itu membuatkan barisan pemainnya hilang punca sekaligus membuka ruang kepada pelawat bermaharajalela pada perlawanan tersebut.
“Selepas terikat tanpa jaringan pada babak pertama, separuh masa kedua kita bermula dengan begitu baik dan memiliki peluang untuk mendapatkan jaringan.
“Namun sejurus pelawat mendapat jaringan, mental pemain mula goyah dan kita membuka ruang kepada mereka (Selangor). Hasilnya dua lagi gol berjaya dijaringkan oleh pelawat,” katanya.
Pada perlawanan itu, Mohd. Syazwan Zainol membuka tirai jaringan Selangor pada minit ke-61 sebelum Mohd. Faiz Nasir menambah derita Kelantan dengan dua lagi jaringan minit ke-65 dan 78.
Kraljevic turut mengakui ketiadaan tonggak import menjejaskan persembahan pasukannya sepanjang perlawanan itu.
Katanya, situasi itu membuatkan dia gagal menyediakan ramuan terbaik berdepan Selangor selain kehilangan khidmat David Rowley yang mengalami kecederaan pada saat-saat akhir.
“Raul (Tarragona) telah pergi, Cassio (de Jesus) masih cedera. Saya tidak tahu sama ada dia boleh bermain atau tidak dalam perlawanan terdekat menentang Sarawak.
“Realitinya kami hilang dua pemain import, ia memberi kesan besar kepada pasukan. Memang cukup perit bermain tanpa pemain import sepenuhnya, sekarang,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











