KUALA LUMPUR: Bibit keretakan UMNO dan Pas mulai dikesan apabila Pas didakwa ingin memutuskan hubungan kerjasama dengan parti perkenaan kerana melanggar ‘persefahaman’ ditetapkan.
Menerusi persefahaman tersebut, UMNO tidak akan meletakkan calon untuk bertanding di kawasan yang dimenangi Pas.
Namun, perkara itu dilihat tidak menjadi kenyataan kerana dikatakan terdapat pemimpin UMNO yang sedang ligat berkempen dan berjumpa dengan masyarakat untuk melobi sebagai ahli Parlimen di kawasan tersebut.
Menurut sumber, Pas berkemungkinan bergerak sendiri tanpa UMNO sekiranya parti itu bertindak meletakkan calon di kawasan diwakilinya.
“Sebelum ini kita sudah sepakat, tetapi kalau UMNO buat ‘degil’, Pas pun perlu fikirkan sesuatu. Mungkin Pas bergerak sendiri, bermakna tiada Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” kata sumber itu.
Mengakui kekuatan orang Melayu bakal ‘lenyap’ jika gabungan itu tidak menjadi pada PRU-15, sumber itu berkata, Pas rela perkara itu berlaku daripada maruah parti Islam berkenaan dipijak sekali lagi oleh UMNO.
“Tetapi, dalam hal ini mungkin kita bincang untuk membuat pertukaran kerusi di mana-mana kawasan yang berpotensi untuk UMNO dan Pas akan menang. Waktu itu kita akan bincang kemudian.
“Cuma setakat ini, persefahamannya begitu lah. UMNO tidak akan kacau kerusi yang Pas dah menang sebelum ini,” jelas sumber itu lagi.
Selain di Kedah, beberapa kawasan lain turut dilihat timbul beberapa masalah berhubung pengagihan kerusi seperti di Terengganu apabila Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini menyatakan hasrat mempertahan enam daripada lapan kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU-14.
Jika ia berlaku, maka Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sebelum ini berkata, parti itu bersedia untuk bertanding di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU-15. – UTUSAN










