Mengakui dia masih belum fasih bertutur dalam bahasa Melayu tetapi setidak-tidaknya pelakon baharu, Dini Schatzmann boleh berbangga dengan dirinya sendiri kerana dia lebih fasih bertutur dalam loghat Pulau Pinang.
Walaupun lahir dan membesar di luar negara, sejak kecil ibunya sudah menerapkan nilai dan budaya Melayu dalam keluarga. Justeru jiwa Melayu sangat kuat dalam pelakon yang membuat kemunculan pertamanya menerusi drama Cik Reen Encik Ngok Ngek ini.
Pun begitu, pemuda berdarah kacukan Melayu-Switzerland ini tidak menafikan dek kerana wajahnya, peluang untuknya membawa watak lelaki Melayu agak terbatas. Berusaha memperbaiki mutu lakonan, Dini masih belajar dan membiasakan diri dengan berkomunikasi dalam bahasa Melayu seharian.
“Ibu saya berasal dari Pulau Pinang dan di rumah memang bertutur dalam loghat utara. Jadi dari kecil memang saya dan kakak sudah terbiasa dan memang ikut sama bertutur dalam loghat tersebut.
“Malah ibu juga menerapkan pada kami budaya Timur dan cara hidup orang Melayu seperti makan nasi menggunakan tangan dan dia selalu memasak masakan tradisi. Saya bangga apabila memberitahu kepada orang lain bahawa saya 100 peratus orang Melayu.
“Disebabkan wajah saya dan mungkin kerana pertuturan saya dalam bahasa Melayu belum betul-betul fasih lagi, jadi buat masa ini tawaran watak yang saya terima lebih kurang sama dalam drama pertama.
“Tetapi saya anggap ia sebagai kelebihan dan membuat saya berbeza daripada orang lain. Walaupun wajah saya seperti lelaki Inggeris tetapi saya boleh bercakap dalam loghat Utara,” katanya.
Tambah anak bongsu daripada dua beradik ini, biarpun baru lapan bulan menetap di Malaysia tetapi dia tidak berasa kekok dengan suasana dan cuaca di negara ini.
Hidup berjauhan dengan keluarga juga sudah menjadi satu kebiasaan buatnya memandangkan selama ini dia tinggal dan belajar di Kanada selama lima tahun sebelum berpindah ke Malaysia kira-kira lapan bulan lalu.
“Saya sudah biasa hidup berdikari dan tinggal berjauhan dengan keluarga. Saya suka suasana di negara ini. Lagipun dulu masa kecil saya selalu juga pulang bercuti ke rumah datuk.
“Jadi sejak berpindah ke sini kalau tidak sibuk dengan penggambaran atau tiada kelas bahasa, saya manfaatkan masa yang ada dengan keluar bersiar-siar,” kata pemegang ijazah bidang kejuruteraan dari University Of British Columbia ini.
Curi perhatian
Berkongsi pula mengenai penglibatannya dalam bidang seni, pemuda berusia 24 tahun ini membuat keputusan bergelar pelakon selepas menyempurnakan harapan ibu bapa untuk melihatnya menggenggam segulung ijazah.
Dini memilih bidang seni kerana sifat dalam dirinya yang sukakan cabaran dan kerjaya lebih dinamik. Justeru dia merasakan dunia lakonan lebih sesuai untuknya berbanding bekerja di pejabat.
“Saya suka melakukan kerja-kerja kreatif, yang mencabar dan dinamik. Semua itu ada pada dunia lakonan. Saya berasa bertuah kerana impian saya ini disokong penuh oleh keluarga.
“Tetapi tidak bermaksud kerja dalam bidang lain tidak bagus cuma saya rasa jiwa saya lebih kepada kerjaya seni” tuturnya yang turut mengintai peluang dalam bidang peragaan.
Dini bersyukur kerana kehadirannya sudah mula disedari peminat drama tanah air, dia sendiri banyak menerima komen positif dalam Instagram miliknya.
“Alhamdulillah, walaupun belum dikenali ramai tetapi sekurang-kurangnya ada yang memberi komen positif mengenai lakonan saya dalam drama Cik Reen Encik Ngok Ngek.
“Harapnya selepas beberapa drama saya disiarkan tidak lama lagi nanti, saya boleh buktikan lagi bakat lakonan saya,” katanya.
Mengenai perkembangan lain, Dini sibuk menjalani penggambaran drama Calon Menantu Tuan Rumah. Selain itu, dia baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Bukan Cinta Aku arahan Erma Fatima.











