Mesin jual air berlesen masih rendah - Utusan Malaysia

Mesin jual air berlesen masih rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 29 Mac – Kesedaran menge­nai kepentingan men­­dapatkan lesen untuk mesin jual air yang dile­takkan di kaki lima premis masih rendah walaupun peraturan itu telah dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan sejak tahun 2014.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, di Perak, hanya 61 daripada 860 mesin tersebut berlesen di bawah Jabatan Kesihatan nege­ri dengan 119 lagi sedang dalam proses kelulusan.

Beliau berkata, adalah penting untuk orang ramai memilih mesin jual air berlesen kerana ia telah dipastikan memiliki sistem saluran air yang selamat selain dipantau secara berkala oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesedaran masih lagi rendah, jadi kita mahu para pemilik mesin jual air ini supaya memohon lesen. Oleh itu, kita boleh memantau cara mesin itu berope­rasi dengan betul.

“Apabila kita memberikan lesen, kita akan pastikan aliran air yang masuk dan keluar itu berada dalam keadaan baik supaya tiada takungan yang boleh menyebabkan denggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam operasi penguatkuasaan mesin jual air di Bercham, di sini hari ini.

Lay Ming berkata, di bawah Peraturan 360C Pera­turan-Peraturan Makanan 1985, air daripada mesin jual air perlu melalui tiga proses iaitu penurasan; osmosis songsang, penyuli­ngan, pe­ngionan atau proses setara dan penyahjangkitan.

Menurut beliau, pihaknya akan memberikan tempoh masa selama dua minggu kepada pemilik mesin jual air bermula hari ini untuk memohon lesen sebelum menjalankan aktiviti penguatkuasaan.

“Selepas dari tempoh itu, tindakan pengeluaran notis kompaun di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 atas kesalahan mengikut Peraturan 360C (4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 akan dilaksanakan.

“Di bawah notis kesa­lahan itu, pemilik boleh dirujuk ke mahkamah dan jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini