KUBANG PASU 26 Mac – Mayat seorang remaja perempuan berusia 18 tahun ditemukan seorang pemancing di Sungai Sentap, Kampung Kodiang Lama, Mukim Keplu, Kodiang di sini, Sabtu lalu.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Ainna itu disedari pemancing tersebut selepas pakaian mangsa tersangkut pada mata kail joran yang digunakan lelaki itu kira-kira pukul 11.51 malam.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Ismail Ibrahim dalam satu kenyataan di sini berkata, pihaknya yang menerima laporan berhubung kejadian itu terus ke lokasi yang terletak berhampiran Gua Kerbau dan mendapati mangsa berpakaian lengkap, namun tiada dokumen pengenalan diri ditemui.
Menurut beliau, pihaknya turut menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda di tepi Sungai Sentap dan pemeriksaan mendapati kenderaan itu milik remaja perempuan tersebut yang berasal dari Simpang Ampat, Perlis.
“Kita seterusnya mengesan keluarga mangsa dan meminta membuat pengecaman dan mereka mengesahkan remaja itu adalah anak mereka.
“Kakak mangsa pada masa itu turut memaklumkan adiknya itu tidak pulang ke rumah selepas keluar kira-kira pukul 7 malam pada Sabtu lalu untuk bertemu dengan teman lelakinya,” katanya.
Hasil daripada maklumat itu, kata Mohd. Ismail, pihak polis telah menahan teman lelaki mangsa yang berusia 18 tahun pada hari Ahad untuk membantu siasatan kes berkenaan.
“Berdasarkan pengakuan lelaki itu, telah berlaku pertengkaran mulut antaranya dengan mangsa
sebelum mereka terjatuh ke dalam sungai. Lelaki berkenaan berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa disyaki lemas.
“Lelaki tersebut bagaimanapun tidak meminta bantuan daripada orang ramai ketika kejadian,” katanya.
Tambah Mohd. Ismail, pada masa ini, pihaknya masih menunggu hasil bedah siasat mangsa bagi mengenal pasti punca kematian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.- UTUSAN ONLINE











