Hari Polis: Indeks jenayah negara menurun, PM ucap tahniah - Utusan Malaysia

Hari Polis: Indeks jenayah negara menurun, PM ucap tahniah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Mac- Perdana Menteri menzahirkan ucapan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah negara sebanyak 11.9 peratus bagi tahun 2018.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, bagi tahun lalu, sebanyak 88,662 kes dicatatkan berbanding nilai ambang atau threshold sasaran sebanyak 100,611 kes.

Menurut beliau, statistik ini membuktikan komitmen PDRM untuk memenuhi harapan masyarakat yang kini amat peka terhadap aspek keselamatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan juga berpuas hati dengan tahap profesionalisme serta keupayaan yang diperlihatkan dalam menangani ancaman jenayah termasuklah militan Daesh.

“Saya difahamkan, sehingga kini, sebanyak 464 ahli pengganas Daesh telah ditahan polis dan kita percaya kejayaan ini dapat dicapai kerana PDRM memiliki pasukan risikan yang mampu menangani isu kompleks,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Peringatan Polis Ke-212 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Peguam Negara, Tommy Thomas dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Dalam pada itu, Mahathir juga menyeru masyarakat untuk bekerjasama membantu PDRM dalam menangani hal berkaitan jenayah serta dilihat menggugat keamanan negara.

Jelas beliau, masyarakat perlu sedar walaupun amanah menjaga keselamatan negara di bawah tanggungjawab polis namun keberkesanan tindakan mereka bergantung kepada kerjasama orang ramai.

“Jika kita mengambil sikap tidak mahu ambil peduli atau tidak melaporkan kepada pihak polis, penjenayah akan terlepas.

“Sekali lagi, saya ingin ucapkan selamat menyambut Hari Polis ke-212. Semoga warga PDRM akan terus bersemangat khidmat mereka dalam menjaga kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan rakyat serta negara,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini