Azroy terpantas di Jasin - Utusan Malaysia

Azroy terpantas di Jasin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Mac – Azroy Hakeem Anuar memulakan musim 2019 dengan positif apabila berjaya mencatat masa terpantas ketika sesi kelayakan kategori CP150 pada pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang berlangsung di Jasin, Melaka, hari ini.

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu mencatat masa terpantas 47.924s, hampir satu saat lebih pantas berbanding rekod litar musim 2018 mengatasi Md Akid Aziz (KUL) Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor yang mencatat masa terbaik 47.949s.

Rakan sepasukan Azroy yang tidak beraksi pada musim lepas, Md Zaqhwan Zaidi turut bermula positif setelah mencatat masa ketiga terpantas, 48.017s manakala juara keseluruhan CP150 2018, Ahmad Afif Amran turut memberikan saingan di kelompok hadapan dengan catatan keempat terpantas, 48.060s.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keputusan itu juga menyaksikan permulaan positif buat kem Honda dan beberapa perubahan teknikal jentera yang diperkenalkan dijangka menjadikan persaingan kelas perdana, musim ini, lebih sengit.

“Satu permulaan yang baik buat pasukan, namun, kami masih belum boleh berpuas hati. Masih terdapat beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan terutama menjelang sesi kelayakan Superpole esok.

“Pada masa sama, kami masih belum mengetahui keupayaan sebenar jentera pasukan lawan kerana ini baru perlumbaan pertama untuk tahun 2019. Bagaimanapun, setidak-tidaknya keputusan hari ini dapat meningkatkan semangat dan keyakinan kami sepasukan,” kata Azroy.

Sementara itu, duo Motul Yamaha YY Pang, Md Fareez Afeez Abd Rahman dan Md Adib Rosley menguasai sesi kelayakan CP115, masing-masing dengan catatan terbaik 49.451s dan 49.710s. Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) muncul pelumba ketiga terbaik dengan masa 49.955s.

Sementara itu, Md Zaki A Zamri bakal memulakan perlumbaan akhir kategori WIRA di kedudukan pertama setelah mencatat masa terpantas 50.353s dalam sesi kelayakan Shootout. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini