Penambahbaikan DPNP 1 April - Utusan Malaysia

Penambahbaikan DPNP 1 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM – Penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak (DPNP) 2019 yang berkuat kuasa pada 1 April depan akan membenarkan pemaju memohon pelepasan kuota bumiputera selepas hartanah itu gagal dijual dalam tempoh enam bulan berbanding dua tahun sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penalti levi yang perlu dibayar pemaju akan disalurkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) serta dijadikan dana untuk membina Rumah Perakku yang disasarkan kepada golongan B40.

“Kita boleh memilih untuk terus berpegang kepada kaedah lama atas dasar sentimen. Tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah dan nasib golongan B40 tidak akan mampu dibela,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek perumahan mampu milik di Taman Malim Putra di sini semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ahmad Faizal berkata, di bawah inisiatif tersebut, peranan LPHP akan diperkasakan sebagai agensi yang mengendalikan semua pengurusan, perancangan dan pemantauan pembangunan sektor hartanah negeri serta akan menambah baik sistem pemantauan bagi memastikan syarat jualan kuota bumiputera sentiasa dipatuhi.

Jelasnya, dasar baharu diper­kenalkan itu juga menetapkan supaya pemaju didenda atau dikenakan levi dua kali ganda sekiranya menjual lot bumiputera tanpa kelulusan LPHP atau pihak berkuasa negeri.

Dalam sidang media kemudiannya, Ahmad Faizal menjelaskan pemaju dibenar menghubungi pihak kerajaan untuk mendapatkan pelepasan terus bergantung kepada lokasi.

“Kami dapati ada kawasan projek perumahan yang tidak menarik minat pembeli bumiputera. Di kawasan ini letaklah kuota bumiputera macam mana pun, akhirnya selepas dua tahun pemaju akan jumpa kerajaan dan minta pelepasan.

“Lepas itu kita minta pemaju bayar levi dan rumah pun sudah rosak dan mendatangkan kerugian. Sekarang ini, jual terus dan duit itu kita beri kepada LPHP untuk bina rumah kepada golongan B40,” katanya.

Beliau turut memberikan contoh semasa penyerahan kunci rumah kepada 100 pembeli projek Rumah Perakku di Seri Iskandar, baru-baru ini yang menyaksikan lebih 1,000 permohonan diterima.

“Ini adalah gambaran kepada situasi sebenar yang mana lebih 12,000 keluarga masih menanti peluang memiliki rumah pertama pada harga mampu milik,” katanya sambil menambah kerajaan negeri telah membina lebih 30,000 rumah mampu milik daripada 50,000 buah yang disasarkan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini