KUALA LUMPUR: Rodziah Ismail yang memenangi jawatan Ketua Wanita PKR pada Pemilihan PKR kali ini mahu memastikan setiap wanita yang diletakkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sesuai dan boleh menang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, perkara itu mudah untuk dilaksanakan kerana segala pertimbangan perlu dibuat secara menyeluruh agar setiap calon yang dipilih memang tepat.
“Kita kini tidak ada masa lagi, saya yang memang kena fikir nama yang sesuai untuk diletakkan menjadi calon, dan bagaimana saya perlu menyediakan dan memastikan tempat yang mereka tandingi dengan posisi yang betul.
Berita berkaitan:
“Sudah pasti ia bukan perkara mudah, dan selepas itu saya berharap kuota 30 peratus wanita berada dalam kepimpinan dapat dipenuhi,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Menurut beliau, timbalannya, Juwairiya Zulkifli adalah kombinasi yang baik kerana mempunyai pengalaman bekerjasama di Selangor, sekali gus memudahkan gerak kerja dan memantapkan Wanita PKR kali ini.
“Saya dengan beliau (Juwairiya) tidak asing, sewaktu saya menjadi Setiausaha, dia penolong saya. Saya tahu cara beliau, banyak kerja yang kami lakukan bersama.
“Tinggal lagi sedikit masa kami tidak bersama, kami terpisah disebabkan jawatan masing-masing, sekarang ini dengan amanah yang diberikan, saya yakin yang kami berdua mampu menggalas tanggungjawab ini dengan lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN











